Betul, sah tapi berdosa, mengikut satu sumber rasmi pusat kutipan zakat.
Kebelakangan ini, isu berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat yang dikaitkan dengan Majlis Agama Islam Perlis (MAPIs) yang melibatkan ratusan juta RM yang melibatkan NGO dakwah & tarbiah Pertubuhan IKRAM Malaysia Hulu Selangor (IKRAM)sehingga menjadi perhatian pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Disebabkan isu tersebut, ada segelintir masyarakat mula menyuarakan hasrat untuk membayar zakat sendiri secara terus kepada asnaf tanpa melalui institusi zakat negeri. Mereka merasakan cara itu lebih selamat, lebih cepat dan lebih diyakini sampai kepada penerima.
Namun begitu, persoalan yang timbul ialah: adakah tindakan membayar zakat sendiri ini benar-benar langkah terbaik?
Menurut pandangan dan penjelasan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, membayar zakat sendiri tanpa melalui saluran rasmi pusat zakat negeri boleh dianggap sah tapi berdosa. Kenyataan ini mengejutkan ramai orang kerana kebanyakan masyarakat hanya melihat kepada aspek “zakat sampai kepada asnaf”, tetapi tidak memahami soal kepatuhan kepada institusi yang telah diberikan kuasa mengurus zakat.
Mengapa Ramai Mahu Bayar Zakat Sendiri?
Perasaan kecewa terhadap isu integriti memang boleh difahami. Apabila timbul berita mengenai salah guna dana atau siasatan berkaitan pengurusan wang awam, keyakinan masyarakat mudah terjejas.
Namun begitu, tindakan terus meninggalkan sistem zakat negeri dan memilih untuk mengagihkan sendiri juga mempunyai beberapa risiko dan keburukan yang jarang dibincangkan secara mendalam. Antaranya ialah:
1. Menjadi “Zakat Sardin”
Antara masalah utama apabila ramai orang membayar zakat sendiri ialah berlakunya fenomena yang sering dipanggil sebagai “zakat sardin”.
Maksudnya, orang yang memberi zakat akan memberi dalam bentuk makanan seperti beras atau wang tunai sahaja.
Sesetengah asnaf mungkin memang perlukan barang tersebut tapi sebenarnya mereka perlukan bantuan sewa rumah, bantuan pendidikan anak-anak, bantuan kos perubatan & sebagainya.
2. Hanya Cari Asnaf Yang Dekat
Kebanyakan orang yang bayar zakat sendiri cenderung memilih penerima yang dekat secara emosi atau lokasi.
Walaupun niat itu baik, pengagihan seperti ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan bantuan. Ada kawasan menerima terlalu banyak sumbangan, tetapi kawasan lain kekurangan dana zakat.
Maksudnya, bantuan hanya tertumpu kepada golongan tertentu yang mudah dilihat atau berada dekat dengan pembayar zakat. Ada asnaf menerima bantuan berlebihan sehingga bertindih-tindih, manakala sebahagian lagi langsung tidak dibantu.
Sebagai contoh, seseorang mungkin memberi zakat kepada jiran terdekat, kenalan atau individu yang viral di media sosial. Dalam masa sama, ada keluarga miskin di kawasan pedalaman yang tidak dikenali langsung dan akhirnya tercicir daripada bantuan.
Institusi zakat negeri sebenarnya mempunyai data dan rekod lebih menyeluruh untuk mengenal pasti golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
Sistem pusat zakat diwujudkan supaya agihan dapat dibuat secara lebih tersusun dan melibatkan semua kategori asnaf yang layak seperti fakir, miskin, mualaf, ibnu sabil dan lain-lain.
Tanpa sistem yang tersusun, zakat boleh berubah menjadi bantuan biasa yang tidak mencapai objektif sebenar syariat.
3. Risiko Tidak Sah Atau Tidak Memenuhi Syarat
Ramai menyangka sesiapa sahaja yang susah automatik layak menerima zakat. Hakikatnya, terdapat syarat tertentu dalam menentukan seseorang itu benar-benar tergolong dalam kategori asnaf.
Jika tersilap memberi kepada individu yang tidak layak, timbul persoalan sama ada zakat tersebut benar-benar sempurna dari sudut hukum.
Dikhuatiri zakat tersebut akan menjadi sedekah & kewajipan berzakat masih tidak tertunai. Malahan akan menjadi hutang zakat untuk tahun itu pula.
Disebabkan itu, institusi zakat mempunyai proses semakan, audit dan penilaian bagi memastikan agihan dibuat kepada golongan yang tepat.
Bagi orang awam yang tidak mempunyai ilmu mendalam tentang hukum zakat dan kategori asnaf, risiko kesilapan tetap ada.
“Sah Tapi Berdosa” Menurut MAIK
Menurut penjelasan rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), pembayaran zakat secara terus kepada asnaf tanpa melalui amil atau institusi yang dilantik boleh dianggap sah dari sudut kewajipan zakat telah ditunaikan.
Namun begitu, tindakan tersebut boleh menjadi berdosa kerana tidak mematuhi arahan pemerintah atau institusi agama yang diberikan kuasa mengurus zakat di negeri tersebut.
Dalam konteks masyarakat awam, ramai berpandangan lebih selamat untuk mengikuti ketetapan pihak berautoriti agama negeri masing-masing daripada membuat keputusan sendiri berdasarkan emosi atau rasa tidak puas hati.
Jangan Biarkan Emosi Mengatasi Sistem
Isu salah guna kuasa atau penyelewengan memang perlu disiasat secara telus. Jika ada pihak bersalah, tindakan undang-undang wajib diambil.
Tetapi pada masa sama, masyarakat juga perlu berhati-hati supaya tidak terus hilang kepercayaan terhadap keseluruhan sistem zakat hanya kerana kes tertentu.
Jika semua orang memilih untuk bayar zakat sendiri, sistem pengagihan berpusat mungkin menjadi semakin lemah dan akhirnya memberi kesan kepada ramai asnaf yang bergantung kepada bantuan bulanan institusi zakat.
Kesimpulan
Perdebatan tentang bayar zakat sendiri akan terus berlaku, terutama apabila timbul isu melibatkan integriti pengurusan dana zakat.
Namun, berdasarkan pandangan pihak berautoriti agama seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), tindakan membayar zakat sendiri tanpa melalui saluran rasmi boleh dianggap sah tapi berdosa.
Sebagai orang awam, pendekatan paling selamat ialah mematuhi saluran rasmi yang ditetapkan oleh institusi agama negeri masing-masing sambil terus mendesak ketelusan dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat.
